Presiden Gamal Abdel Nasser dari Mesir meninggal dunia pada bulan September 1970 dan digantikan oleh Anwar Sadat yang dianggap lebih sederhana dan pragmatik berbanding Nasser. Bagaimanapun, bagi mengimbangi ancaman dalaman kepada kuasanya dan memperkukuh imejnya di kalangan dunia Arab, Sadat bertekad untuk melawan Israel dan memenangi kembali kawasan yang hilang pada tahun 1967. Rancangan menyerang Israel bersama dengan Syria dirujuk sebagai Operasi Badr (bahasa Arab: operasi "bulan penuh").
Mesir dan Syria cuba mendapatkan kembali kawasan di bawah penjajahan Israel dengan kekerasan. Tentera mereka bersama-sama melancarkan serangan mengejut pada hari perayaan Yahudi Yom Kippur — tentera Syria menyerang kubu di Dataran Tinggi Golan, manakala tentera Mesir menyerang kubu sekitar Terusan Suez dan Semenanjung Sinai — dan menyebabkan kemusnahan teruk pada tentera Israel. Bagaimanapun, selepas tiga minggu berperang dan selepas dibekalkan persenjataan oleh tentera udara Amerika Syarikat, Pasukan Pertahanan Israel (IDF) mengundurkan tentera Arab melebihi sempadan asal.
Semasa peperangan, Briged Berperisai Barak memainkan peranan yang penting untuk mempertahankan sempadan Israel daripada serangan Syria di selatan Dataran Tinggi Golan. 112 orang askar terbunuh ketika bertempur di situ. Tentera udara Mesir dan Syria bersama dengan sistem pertahanan udara mereka menembak jatuh 114 buah kapal terbang Israel semasa pertempuran.
Menurut perangkaan Israel, 2,688 orang petugas Israel terbunuh dalam pertempuran tersebut dan ribuan lagi (dianggarkan antara 5,000 - 10,000) tercedera. 295 orang askar Israel menyerah atau ditawan oleh tentera Arab (231 oleh Mesir, 62 oleh Syria, dan 2 di Lebanon) manakala 8,783 orang askar Arab ditawan oleh tentera Israel (8,372 oleh Mesir, 392 oleh Syria, 13 di Iraq, dan 6 di Maghribi). Kedua-dua pihak itu bertukar-tukar orang tawanan pada pertengahan tahun 1974.
Pada 22 Oktober 1974, perjanjian damai diisytiharkan, akan tetapi kepercayaan orang awam Israel telah tergugat kerana Israel jelas tidak tersedia untuk serangan mengejut dan gagal mematahkannya dengan pantas. Ketidaksediaan negara disalahkan pada Menteri Pertahanan Moshe Dayan, dengan orang awam yang marah menuntut beliau meletakkan jawatan. Presiden Mahkamah Agung menubuhkan sebuah suruhanjaya untuk menyiasat prestasi jeneralnya semasa berperang, dengan suruhanjaya tersebut kemudian mencadangkan peletakan jawatan Ketua Turus, tetapi tidak membuat sebarang ulasan tentang Moshe Dayan. Walaupun demikian, akhbar dan orang awam masih menyalahkannya. Setelah menghadiri upacara pengebumian askar-askar yang terkorban dan menghadapi keluarga-keluarga yang berkabung yang menggelarnya pembunuh anak mereka, Moshe Dayan menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Golda Meir pada tahun yang akhir tahun 1974.
Di Mesir dan Syria, Perang Yom Kippur dilihatkan sebagai separuh menang. Garis Bar Lev yang "tidak dapat ditawan" telah ditempuh, pasukan tentera udara Israel mengalami kerugian teruk, dan mitos keunggulan tentera Israel telah dihancurkan di Sinai dan Dataran Tinggi Golan. Akibat campur tangan Henry Kissinger, Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Israel terpaksa melepaskan sebahagian takluknya kepada Syria dan Mesir melalui beberapa perjanjian "pengunduran", walaupun keamanan menyeluruh yang dibayangkan oleh gabungan Soviet-Amerika yang menganjurkan Persidangan Keamanan Timur Tengah tidak berlaku.
Perang Yom Kippur merupakan sebahagian pertikaian Arab-Israel yang merangkumi banyak pertempuran dan peperangan sejak dari tahun 1948. Dalam Perang Enam Hari pada bulan Jun 1967, Israel telah menduduki Dataran Tinggi Golan di utara serta Semenanjung Sinai di selatan sehingga ke Terusan Suez.
Pada tahun-tahun yang menyusul Perang Enam Hari, Israel mendirikan barisan pertahanan di kedua-dua Sinai dan Dataran Tinggi Golan. Kemudian pada tahun 1971, ia membelanjakan AS$500 juta untuk mengukuhkan kedudukannya di Terusan Suez dengan serangkaian kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamainya Garis Bar Lev sempena nama jeneral Israel, Haim Bar Lev. Selepas serangan mengejut yang mengalahkan tentera-tentera Mesir dan Syria pada tahun 1967 dan kemenangannya dalam Perang Pelumpuhan dengan Mesir di selatan yang berlangsung selama tiga tahun bersama-sama beberapa kejadian perbatasan di utara dengan Syria, pimpinan Israel menjadi agak lalai. Bangga dengan rasa keunggulan tentera sendiri, Israel gagal menyedari usaha agresif yang dilakukan oleh musuh-musuhnya, terutamanya Mesir, dalam mempersenjatai dan menyusun semula tentera masing-masing menjadi angkatan-angkatan tentera yang jauh lebih berdisplin yang dapat mencabar angkatan tenteranya (IDF).
Pada tahun 1971, Anwar Sadat mengumumkan bahawa sekiranya Israel melakukan pengunduran satu pihak dari semua kawasan yang ditawannya semasa perang tahun 1967, Mesir akan menimbangkan gencatan senjata atau kedamaian sementara yang menyeluruh. Israel keberatan berundur dari sedemikian banyak jajahannya tanpa sebarang jaminan perjanjian damai daripada Mesir dan tanpa peluang untuk mencapai sebarang perjanjian damai dengan jiran-jiran Arabnya ketika itu.
Sebagai balasan pada tahun 1972, Anwar Sadat dengan lantang menyatakan bahawa Mesir akan berperang dengan Israel, malahan mereka bersedia untuk mengorbankan sejuta orang askarnya. Sejak dari akhir tahun 1972, Mesir memulakan usaha yang bersungguh-sungguh untuk mengukuhkan angkatan tenteranya dan menerima MiG-23, SAM6, RPG-7, khususnya peluru berpandu anti-kereta kebal 'Sagger', daripada Kesatuan Soviet serta memperbaik taktik-taktik tenteranya.
Pada tahun 1972 dan 1973, Sadat secara terang-terangan mengisytiharkan sekali lagi bahawa Mesir akan berperang dengan Israel kecuali ia berundur sepenuhnya dari kesemua jajahan yang ditaklukkannya pada tahun 1967. Sadat mengambil langkah diplomatik pada tahun 1973 untuk meyakinkan negara-negara Afrika, Eropah dan Kesatuan Soviet supaya menyokongnya dalam peperangan dengan Israel. Oleh sebab Kesatuan Soviet sedang cuba memperbaiki hubungannya dengan Amerika Syarikat melalui pengenduran ketegangan, ia enggan menyetujui permintaan Mesir untuk memperoleh lebih banyak senjata dan sokongan umum terhadap perangnya dengan Israel. Sebagai balasan, Sadat menyingkirkan sekitar 20,000 orang penasihat Soviet dari Mesir.
Kuasa-kuasa terbesar juga memainkan peranan yang utama dalam keputusan kedua-dua perang, dengan dasar Kesatuan Soviet merupakan salah satu punca kelemahan tentera Mesir. Sedangkan Amerika Syarikat tidak terbatas membekalkan Israel dengan senjata-senjata serangan yang paling terkini, Rusia hanya membekalkan Mesir dengan persenjataan pertahanan dan walaupun demikian, juga hanya dengan banyak keberatan. Sebenarnya, Gamel Abdel Nasser hanya dapat memperoleh bahan untuk barisan pertahanan peluru anti-pesawatnya selepas beliau melawat Moscow dan mengugut pimpinan Kremlin bahawa beliau akan pulang ke Mesir untuk memberitahu orang Mesir bahawa Moscow telah meninggalkan mereka dan kemudian akan meletakkan jawatannya supaya penggantinya akan dapat berbaik-baik dengan Amerika Syarikat yang akan mendapat kuasa di wilayah itu.
Salah satu matlamat Perang Pelumpuhan yang tidak diisytiharkan adalah untuk memaksa Kesatuan Soviet supaya membekalkan Mesir dengan senjata dan bahan perang yang lebih maju. Mesir berasa bahawa cara yang tunggal untuk meyakinkan para pemimpin Soviet tentang kekurangan kebanyakan pesawat dan persenjataan pertahanan udara yang dibekalkan selepas tahun 1967 adalah untuk mengujinya terhadap persenjataan maju yang dibekalkan oleh Amerika Syarikat kepada Israel.
Dasar Nasser selepas kekalahan tahun 1967 bertentangan dengan dasar Kesatuan Soviet. Sedangkan Nasser bertindak mengikut kepercayaanya bahawa apa yang dirampas melalui kuasa harus dituntut balik dengan kuasa, pihak Soviet cuba mendorong Mesir ke arah penyelesaian aman terhadap pertikaian Arab-Israel. Dengan apa cara sekalipun, Kesatuan Soviet hendak mengelakkan sebarang pertempuran yang baru antara pihak Arab dengan Israel agar tidak berkonfrontasi dengan Amerika Syarikat.
Keadaan menjadi amat nyata kepada Mesir apabila kuasa-kuasa besar bertemu di Oslo dan bersetuju mengekalkan status quo di kawasan ini, tanpa mengira pendudukan wilayah-wilayah Arab oleh Israel yang berterusan.
Ini jelas tidak dapat diterima. Dan apabila pimpinan Mesir mendapat bukti yang jelas bahawa penyediaan mereka untuk menyeberangi terusan telah dibocorkan, semua orang Rusia terpaksa disingkir dari Mesir supaya dapat mengekalkan unsur kekejutan. Langkah ini juga membantu memastikan bahawa kemenangan pada bulan Oktober merupakan sebuah kemenangan Arab pada keseluruhannya.
Dalam sebuah wawancara yang diterbitkan di dalam majalah Newsweek pada 9 April 1973, Sadat sekali lagi mengugut bahawa Mesir akan berperang dengan Israel. Bagaimanapun, ugutan ini telah diulang terlalu banyak kali sejak dari tahun 1971, dengan pimpinan awam Israel serta bahagian perisik tenteranya kini tidak lagi mengambil berat terhadapnya, khususnya selepas dibutai oleh kejayaan Perang Enam Hari mereka. Banyak kali pada tahun 1973, tentera-tentera Arab telah mengadakan latihan-latihan berskala besar yang mengakibatkan Pasukan Pertahanan Israel (IDF) amat berawas-awas, hanya untuk ditamatkan beberapa hari kemudian. Pimpinan Israel juga mempercayai bahawa jika berlakunya sebarang serangan, Tentera Udara Israel akan dapat menangkisnya dengan mudah, dengan mereka kini semakin yakin bahawa serangan tidak akan berlaku.
Kebanyakan analisis tentang Mesir dalam perang menganggap bahawa niatnya membabitkan penaklukan semula semua atau hampir semua kawasan Sinai yang sebenarnya merupakan matlamat yang diumumkan. Bagaimanapun, sesetengah penulis Mesir kemudian menegaskan bahawa arahan-arahan Sadat kepada jeneral-jeneralnya adalah hanya untuk menawan sejalur tanah yang lebarnya beberapa kilometer di sebelah timur Terusan Suez. Apabila dokumen-dokumen arkib tentera Israel serta dokumen-dokumen Mesir yang dirampas oleh Israel semasa perang dibebaskan, sebilangan ahli sejarah Barat mula menyokong versi kedua ini. Umpamanya, ini adalah pendapat Dani Asher yang bukunya diterbitkan oleh Kementerian Pertahanan Israel pada tahun 2003. Bagaimanapun, kepastian mutlak harus menunggu sehingga arkib Mesir dibuka.
0 Komentar
Penulisan markup di komentar